Dec 29, 2014


29 December 2014

MUDAH RUPANYA SUJUD SYUKUR

CARA MELAKSANAKAN SUJUD SYUKUR




Semasa saya singgah solat Zohor di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, kebetulan ada kelas agama untuk pelajar sekolah rendah dan menengah. Topik yang diajar oleh ustaz itu ialah SUJUD SYUKUR. Sambil menunggu giliran dengan suami, jaga anak dan nak solat, saya dengar apa yang diajar.

Barulah saya tahu, rupanya sujud syukur ni sangat senang dan mudah untuk dilaksanakan. Lepas ini, tiada alasan untuk tidak melakukannya. Alhamdulillah, Allah pertemukan saya dengan ilmu ini. Terima kasih, ya Allah.

Daripada penerangan ustaz beserta amali yang ditunjukkan, caranya begini.
1. Mesti berwuduk,
2. Menghadap kiblat.
3. Bertakbir.
4. Sujud sekali. Baca doa sepertimana sujud di dalam solat (boleh juga luahkan kesyukuran pada Allah) 
5. Bertakbir sekali lagi untuk bangkit dari sujud.
6. Salam

Nampak mudah, kan. Jadi jom kita sama-sama amalkan. Semoga ilmu yang sedikit ini berguna pada semua.
Di sini saya nak share juga serba sedikit tentang sujud syukur ni. Maklumlah, saya pun belajar. Sama-sama nak dekatkan diri padaNya sebaik mungkin.
Sumber (KLIK)

Pengertian Sujud Syukur

Jika hajat kita telah tercapai, maka hendaklah kita menzahirkan rasa penghargaan kita terhadap Allah melalui sujud syukur. Sujud syukur bermaksud sujud yang dilakukan kerana mensyukuri nikmat Allah. Sujud syukur ini disunatkan kepada seseorang yang terlepas dari bahaya atau orang yang mendapat nikmat dari Allah SWT.
Abi Bakrah meriwayatkan “bahawa Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang mengembirakan atau khabar suka, baginda terus sujud berterima kasih kepada Allah”.(Riwayat Abu Dawud dan Tarmizi)
Firman Allah SWT:
Dan (ingatlah juga), ketika Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Quran, surah Ibrahim, 14:7)

SEBAB-SEBAB SUJUD SYUKUR DILAKUKAN

Secara umumnya sujud syukur itu dilakukan apabila seorang hamba itu mendapat nikmat atau terhindar dari suatu bencana atau mendapatkan kembali sesuatu yang telah hilang atau selamat dari merbahaya.
Dalam hal ini hukum sujud syukur menurut mazhab Syafii dan Hanbali adalah sunat, sama ada nikmat yang diperolehi atau bencana yang dialami itu khas bagi dirinya atau am bagi semua umat Islam, seperti kemenangan ke atas musuh, hilangnya wabak yang merbahaya dan sebagainya. Tetapi terdapat suatu pandangan dikalangan mazhab Hanbali bahawa sujud syukur hanya dilakukan bagi nikmat yang sifatnya umum untuk semua umat Islam dan bukan untuk nikmat yang khas.

SYARAT-SYARAT SUJUD SYUKUR

Menurut mazhab Syafi’e dan Hanbali disyaratkan sepertimana hendak melakukan solat iaitu thaharah, suci daripada hadas kecil ataupun besar, mengadap kiblat dan menutup aurat.

KAIFIAT SUJUD SYUKUR

Cara pelaksanaanya adalah sebagai berikut:
1) Mengadap kiblat
2) Bertakbir kemudian sujud sekali dengan membaca doa sepertimana doa sujud di dalam solat.
3) Bertakbir sekali lagi untuk bangkit daripada sujud, kemudian salam tanpa membaca doa tasyahud.
(untuk salam boleh dilakukan sekali)

HUKUM SUJUD SYUKUR PADA WAKTU YANG DILARANG MENGERJAKAN SOLAT

Makruh hukumnya mengerjakan sujud Syukur pada waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat sunat seperti selepas solat Subuh atau selepas solat Asar. Meskipun pada ketika itu berlaku sebab-sebab yang membolehkan mengerjakan solat sunat. Begitu juga tidak dibenarkan mengerjakan sujud syukur ketika mendengar khutbah Jumaat.

RUKUN SUJUD SYUKUR

1) Berniat untuk sujud syukur
2) Membaca takbiratul ihram ketika hendak sujud
3) Satu kali sujud
4) Memberi salam sesudah sujud

Sumber (KLIK)

Semoga bermanfaat =)

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
© Vitamin Keluarga Sihat Menawan | Template Designed By Blog Bingkisan Hati